Halaman

Jumaat, 5 Mac 2010

Novel Istana Menanti (Abd Latip Talib)

SINOPSIS/RINGKASAN
Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy berkongsi cerita dan pengalaman dengan Tuk Ngah di Kampung Ulu Seperi, Rembau. Tuk Ngah bercerita tentang Istana Menanti, istana yang banyak menyimpan cerita sejarah. Istana lama ini ada kaitan dengan kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Istana yang dianggarkan berusia 500 tahun ini dikatakan berpuaka dan misteri. Meskipun mendapat bantahan, namun tiga sahabat ini bulat hati untuk memulakan ekspedisi ke Gunung Datuk untuk melihat Istana Menanti. Dengan ditemani Tuk Ngah, mereka begitu bersemangat merentas hutan menuju ke puncak Gunung Datuk.
Setibanya mereka di puncak Gunung Datuk, Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy amatteruja melihat hasil seni bina Istana Menanti yang besar dan agam. Mereka mahu masuk ke dalam istana, namun pintunya berkunci dari dalam. Tuk Ngah membuat tangga kayu. Sesudah itu, tangga itu disandarkan pada dinding untuk membuka tingkap istana. Akhirnya, mereka bertiga dapat masuk ke dalam istana melalui tingkap. Tuk Ngah enggan masuk kerana mahu berehat di luar sahaja. Setelah masuk ke dalam istana, tiga sahabat itu berasa hairan melihat keadaan di dalam istana yang bersih seolah-olah baru bersapu. Ketika memasuki salah satu bilik, tiba tiba pintu bilik itu tertutup. Mereka berusaha untuk membuka pintu namun gagal. Tiga sahabat itu berusaha mencari jalan keluar. Tiba-tiba, mereka menemukan pintu rahsia di lantai. Rupa-rupanya, pintu tersebut ialah laluan ke terowong rahsia bawah tanah
Mereka bertiga masuk ke dalam terowong yang gelap, panjang, dan dihuni kelawar serta ribuan tikus. Mereka berpatah balik ke bilik apabila terdengar suara jeritan di hujung terowong. Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi orang berjalan dan terlihat cahaya lampu suluh dari dalam terowong. Apabila lelaki itu masuk ke dalam bilik melalui pintu rahsia, Fadhil terkejut lalu mengacukan parang ke arah lelaki itu. Rupa-rupanya, lelaki itu juga tersesat dan terperangkap seperti mereka bertiga. Lelaki yang bernama Khairil Anuar itu memperkenalkan diri dan tujuannya datang ke istana lama itu. Selepas diberikan sedikit makanan, akhirnya Khairil tertidur kerana terlalu letih.
Ketika Khairil dan Ramasamy tertidur, Ah Seng sakit perut dan mahu buang air besar. Dia turun bersendirian ke dalam terowong. Tiba-tiba, kepala Ah Seng dipukul lalu dia pun pengsan. Apabila Ah Seng tersedar, dia melihat beberapa orang lelaki sedang menggali lubang. Rupa-rupanya, mereka sedang mencari harta karun. Dalam pada itu, Fadhil gelisah menunggu Ah Seng yang tidak pulang-pulang ke bilik. Akhirnya, Fadhil mengejutkan Khairil untuk memberitahu akan perihal Ah Seng. Mereka segera turun ke terowong untuk mencari Ah Seng. Mereka terkejut apabila menemukan kasut Ah Seng di dalam terowong. Khairil mengagak bahawa Ah Seng diserang binatang buas. Malangnya, mereka ditangkap oleh beberapa lelaki bersenjata dan dibawa ke tempat Ah Seng ditawan.
Di Kampung Ulu Seperi, ibu bapa kepada Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy mula runsing kerana anak masing-masing masih belum pulang. Berita tersebut cepat tersebar dan akhirnya suatu laporan polis dibuat. Malam itu, gerakan mencari mula dilakukan dengan diketuai oleh Sarjan Mokhtar. Tiba-tiba, Tuk Ngah muncul dan menyatakan bahawa tiga sahabat itu telah ditawan penjahat. Sarjan Mokhtar segera mengarahkan orang-orangnya supaya kawasan itu dikepung.
Fadhil, Khairil, dan Ramasamy masih meneruskan kerja-kerja menggali dan mencari harta karun. Mereka dijanjikan upah atas kerja-kerja mereka. Salah seorang daripada ahli kumpulan itu menyatakan bahawa lelaki tua yang bersama mereka pernah bergelar pemimpin tertinggi komunis di negara ini. Harta karun yang ditanam itu adalah harta rampasan pihak Jepun selepas Jepun menyerah kalah. Akhirnya, harta itu berjaya ditemukan. Namun demikian, kumpulan penjahat itu hanya membawa harta karun dan meninggalkan Fadhil dan rakan-rakannya di dalam terowong itu. Tidak lama kemudian, pihak polis berjaya memberkas kelima-lima orang penjahat yang berkenaan.
Seminggu kemudian, Fadhil, Ah Seng, Ramasamy dan kali ini Khairil turut sama datang ke rumah Tuk Ngah untuk berkongsi cerita sejarah lagi. Kali ini, Tuk Ngah bercerita tentang Dolah, lelaki tua yang mendakwa pejuang pembebasan tanah air itu sebagai sahabat lamanya yang terpengaruh oleh ideologi komunis. Tuk Ngah juga bercerita tentang sejarah komunis di Tanah Melayu. Malam itu, suatu majlis kesyukuran dan doa selamat diadakan di balai raya Kampung Ulu Seperi demi meraikan kejayaan wira-wira kampung itu. Majlis itu turut dihadiri oleh orang kenamaan termasuklah Menteri Besar dan wartawan akhbar. Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada semua yang terlibat.

Tema
Tema novel Istana Menanti, karya Abd Latip Talib ini ialah semangat sekumpulan remaja yang peka akan sejarah tanah air dan ingin mengkaji kesahihan sejarah tersebut. Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy mewakili golongan remaja yang sangat minat akan subjek sejarah dan mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah setempat. Mereka bertiga juga sanggup meredah hutan belukar untuk melihat sendiri kewujudan dan keunikan Istana Menanti di puncak Gunung Datuk.

Persoalan
(a) Kesedaran golongan muda tentang sejarah tanah air.
Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy sanggup meluangkan masa ke rumah Tuk Ngah kerana warga emas itu banyak mengetahui tentang sejarah setempat dan sejarah negara. Mereka berkongsi maklumat dan info sejarah dengan Tuk Ngah.
(b) Semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.
Masyarakat di Kampung Ulu Seperi, Rembau terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama. Mereka hidup bersatu padu dan saling membantu khususnya ketika mencari Fadhil dan rakan-rakannya yang hilang di Gunung Datuk.
(c) Kebijaksanaan pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman dahulu dalam mengatur strategi perang.
Pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu membina kediaman yang jauh di puncak bukit atau gunung agar terselamat daripada serangan musuh. Istana Menanti yang dibina di puncak gunung telah dijadikan tempat perkumpulan pendekar-pendekar Rembau dalam usaha mereka menentang penaklukan Portugis dan Inggeris. '
(d) Keunikan dan keistimewaan bangunan lama.
Istana Menanti terhasil daripada kehebatan orang-orang terdahulu. Meskipun tidak dibina berdasarkan teknologi moden, namun Istana Menanti tetap kukuh dan agam meskipun usianya dianggarkan sudah 500 tahun. Reka bentuk istana itu juga unik kerana atapnya melentik seperti tanduk kerbau. Istana ini mempunyai ukiran yang halus dan cantik. Luasnya pula dapat memuatkan sehingga 300 orang. Tiang istana berjumlah 40 batang juga masih kukuh kerana diperbuat _ daripada kayu keras.
(e) Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap perkara-perkara mistik.
Segelintir masyarakat Melayu yang digambarkan dalam novel ini percaya akan perkara-perkara mistik. Contohnya, penduduk setempat percaya bahawa Istana Menanti dihuni oleh makhluk bunian atau berpenunggu. Sebagai contoh, di dalam istana lama itu kononnya tersimpan alat-alat kebesaran raja Melayu zaman dahulu yang sangat berharga. Namun, barang-barang itu tidak boleh dibawa balik kerana kononnya ada makhluk halus yang menjaganya.
Selain itu, ada yang mendakwa bahawa Jeram Lubuk Petai juga dihuni oleh makhluk bunian. Oleh itu, sesiapa yang datang ke jeram itu haruslah berniat baik, tidak bermulut celupar, dan tidak melakukan maksiat. Jika tidak, mungkin ada kecelakaan yang akan menimpa. Sebagai contoh, ada yang mati lemas di dalam lubuk itu sebagai akibat keceluparan dan ada yang kononnya ternampak ular sebesar pokok kelapa muncul dari lubuk tersebut.
(f) Sikap segelintir individu yang tidak menghargai kemerdekaan dan derhaka terhadap negara. Dalam novel ini, Tuk Ngah bercerita tentang Dolah yang masuk ke dalam hutan untuk menyertai perjuangan komunis sebelum dilantik sebagai ketua ke-10, Parti Komunis Malaya. Pada tahun 1960, ancaman komunis dalam negara ditamatkan. Dolah dan banyak pemimpin Parti Komunis Malaya melarikan diri ke negara China. Selepas negara memberi pengampunan kepada bekas-bekas komunis ini, Dolah kembali ke Malaysia. Malangnya, pengampunan kerajaan ini telah disalahgunakan.

1 ulasan:

  1. Salam perkenalan. Cikgu Ngu, rajin menulis dan mengulas, saya suka idea cikgu.

    BalasPadam