Halaman

Jumaat, 5 Mac 2010

Antologi Kasut Kelopak Jantung (cerpen kasut kelopak jantung)

Sinopsis / Ringkasan
Tanggal 16 Mei, Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan yang berisi sepasang kasut yang mahal. Walaupun Cikgu Harun sudah dapat mengagak siapa pengirim bungkusan tersebut, beliau tidak pasti sama ada pengirimnya benar-benar ikhlas atau hendak menyindirnya. Hadiah tersebut telah membangkitkan ingatan Cikgu Harun ketika beliau mengajar murid darjah tiga di sebuah sekolah di luar bandar, tiga puluh tahun yang lalu.
Setelah menerima ucapan selamat pagi daripada murid-murid, Cikgu Harun memarahi Ahmad. Ahmad tahu akan kesalahannya yang tidak memakai kasut ke sekolah. Perasaan Ahmad bercampur baur antara takut dengan malu. Bagi Cikgu Harun, dia terpaksa bertindak sedemikian supaya Ahmad mendesak ibu bapanya agar membelikannya kasut sekolah untuknya. Lagipun Cikgu Harun tidak mahu murid-murid yang lain mencontohi sikap Ahmad yang tidak memakai pakaian seragam sekolah yang lengkap ke sekolah.
Kemarahan Cikgu Harun memuncak lagi apabila Ahmad tidak memakai pakaian pendidikan jasmani. Cikgu Harun memungut beberapa keping kelopak jantung pisang yang bertaburan di tepi pagar lalu menyuruh Ahmad mengikatnya dengan tali raffia pada kedua-dua belah kakinya demgan pesanan jangan menanggalkan kasut baharunya sehingga dia membeli kasut sekolah. Ahmad menangis kerana diketawa oleh kawan-kawan sekelasnya. Dia berlari pulang ke rumah apabila loceng sekolah terakhir berbunyi. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah lagi. Cikgu Harun mulai rasa bersalah. Beliau mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad.
Kedatangan Cikgu Harun disambut oleh ibu Ahmad. Ahmad tiada di rumah kerana dia mengambil upah memetik cili di sebuah kebun sayur. Beberapa minit kemudian, Cikgu Harun ternampak kelibat Ahmad di belakang rumah, Cikgu Harun menangis kerana kasut kelopak jantung masih terlekat pada tapak kaki Ahmad. Cikgu Harun menunggang motosikal ke pekan yang berdekatan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan sepasang kasut sekolah untuk Ahmad. Cikgu Harun menyerahkan pakaian dan kasut yang baharu dibelinya kepada Ahmad sambil berpesan kepada Ahmad supaya kembali ke sekolah. Cikgu Harun kemudian membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai di kaki Ahmad.
Setelah tamat persekolahan, Ahmad bekerja sebagai peniaga pakaian dan kasut di pasar malam dan setelah itu bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di Bandar. Dialah yang mengirimkan bungkusan yang berisi kasut itu kepda Cikgu Harun.

1 ulasan:

  1. Layan KASUT KELOPAK JANTUNG versi filem pendek plak.. BEST!!

    http://www.youtube.com/watch?v=sVPpzMp4y3c

    BalasPadam